PUTRAJAYA - Kemalangan jalan raya menjadi punca kematian utama dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 15 hingga 40 tahun apabila mencatatkan 21.3 peratus daripada kematian yang disahkan secara perubatan bagi kumpulan umur berkenaan sepanjang 2025.
Perangkaan itu sekali gus memperlihatkan ancaman kemalangan jalan raya terhadap golongan muda, berbeza dengan kumpulan umur lebih berusia yang lebih banyak mencatatkan kematian akibat penyakit berkaitan jantung dan sistem pernafasan.
Menurut infografik Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai penyebab kematian utama secara keseluruhan dengan kadar 13.0 peratus.
Pneumonia atau radang paru-paru pula berada di kedudukan kedua dengan 12.7 peratus, diikuti diabetes sebanyak 5.0 peratus, kegagalan buah pinggang (3.6 peratus) dan kemalangan pengangkutan (3.4 peratus).
Bagi kumpulan umur 41 hingga 59 tahun, penyakit jantung iskemik mendominasi punca kematian dengan kadar 17.5 peratus, manakala pneumonia menjadi penyebab utama kematian individu berusia 60 tahun ke atas pada kadar 15.6 peratus.
Pneumonia turut dikenal pasti sebagai punca kematian utama kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun dengan kadar 5.3 peratus.
Perbezaan turut direkodkan mengikut jantina apabila penyakit jantung iskemik menjadi punca kematian utama lelaki dengan kadar 15.5 peratus, sementara pneumonia mendominasi kematian wanita sebanyak 13.6 peratus.
Dari segi kumpulan etnik, penyakit jantung iskemik menjadi penyebab kematian utama masyarakat India dengan kadar 17.0 peratus, diikuti Melayu sebanyak 14.0 peratus.
Bagi masyarakat Cina pula, pneumonia menjadi punca kematian utama dengan kadar 14.1 peratus, manakala Bumiputera lain turut mencatatkan penyakit sama pada kadar 11.5 peratus.
Mengikut negeri, penyakit jantung iskemik mendominasi punca kematian di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.
Keadaan sama turut direkodkan di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sebaliknya, pneumonia menjadi penyebab kematian utama di Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.
Selain lima penyebab utama itu, statistik berkenaan turut menyenaraikan strok yang tidak dikenal pasti sebagai iskemik atau berdarah (2.5 peratus), kegagalan jantung (2.1 peratus), pendarahan intrakranium (2.0 peratus), kanser bronkus atau paru-paru (2.0 peratus) serta kanser usus besar, dubur dan saluran dubur (1.9 peratus).
DOSM menerusi nota infografik berkenaan menjelaskan bahawa “analisis adalah berdasarkan sebab kematian yang disahkan secara perubatan yang mewakili 69.3 peratus daripada jumlah kematian.”
Statistik bagi tahun 2025 itu memperlihatkan perbezaan ketara punca kematian mengikut peringkat umur, sekali gus memberikan gambaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya dalam kalangan golongan muda serta pencegahan penyakit tidak berjangkit dalam masyarakat.


.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)



.jpg)





